Saturday, December 12, 2009

So, you think you are so good?

Saya sengaja memberi topik ini di dalam Bahasa Inggeris kerana kalau diterjemah di dalam Bahasa Malaysia, bahasanya agak kurang enak dan manis untuk didengar.

Saya berpeluang untuk mengikuti kursus 'Memperkasakan Bahasa Malaysia di Media Cetak' anjuran Dewan Bahasa & Pustaka selama 2 hari bermula pada 8-9 Disember 2009. Rata-rata, peserta kursus adalah dari agensi kerajaan. Pada mulanya saya agak kekok untuk bertutur di dalam Bahasa Malaysia sepanjang hari. Apabila disoal oleh Penceramah saya tercari-cari perkataan yang sesuai di dalam Bahasa Malaysia. Sungguh memalukan sekali! Saya perhatikan peserta-peserta lain tidak menghadapi masalah seperti saya .... Jauh di sudut hati saya berharap saya tidak akan disoal lagi kerana saya pasti akan menjawab di dalam Bahasa Inggeris!

Fenomena ini adalah biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada umumnya, kita mementingkan Bahasa Inggeris kerana Bahasa ini merupakan Bahasa komunikasi antarabangsa. Tetapi, apakah langkah-langkah yang telah kita lakukan untuk memartabatkan Bahasa Ibunda kita sendiri?

Kursus 2 hari ini, sebenarnya telah 'membuka mata dan minda' saya sebagai seorang Melayu. Saya bukanlah seorang yang amat fasih berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris tetapi, di dalam pergaulan seharian, Bahasa Inggeris telah dicampuradukkan dengan Bahasa Malaysia sehingga pada suatu ketika, saya berpendapat Bahasa Malaysia tidak perlu diajar kepada orang Melayu. Pendekatan saya sebenarnya adalah tidak benar kerana, apabila mengikuti kursus ini, saya dapati penulisan di dalam Bahasa Malaysia yang saya selalu lakukan mempunyai kesalahan-kesalahan dari segi teknikal bahasa. Saya lupa apa itu subjek dan predikat. Saya tidak maklum apa itu kata hubung dan apa yang dimaksudkan dengan kata majmuk. Tetapi saya amat mengenali 'verb', adjective, noun, pronouns dan lain-lain...

Walaupun saya selalu membuat laporan terutamanya Kenyataan Pengerusi untuk Laporan Tahunan, saya tidak maklum bahawa setiap laporan sebegini hendaklah ditulis dalam bentuk ayat pasif. Setelah mempelajari dan mendalami beberapa teknik sepanjang 2 hari kursus, saya kini dapat mengenalpasti kesalahan-kesalahan teknikal yang selama ini saya yakin adalah betul dan tepat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada DBP; terutamanya Prof. Norizah dan Munsyi Selina. Percaya atau tidak Puan Selina adalah Munsyi bukan Melayu dan saya amat terpegun dengan kefasihan serta kewibawaan beliau untuk terus memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

No comments:

Post a Comment

Sharing your thoughts anyone?